‘Kau, Aku, Kita’ Jadi Bualan Hangat Di Facebook, Instagram dan Twitter!
Sumber Wartawan: Li Ee Kee
Baru episod pertama dan kedua tetapi nampaknya ramai yang sudah ternantikan buah tangan terbaru dari JS Pictures ini. Adaptasi novel nukilan Orkid Edyliyne, 'Kau, Aku, Kita' mempertaruhkan gandingan sulung Syarul Ridzwan dan Janna Nick. Dibantu Isey Fazlisham, Adeline Tsen dan Tunku Hanis, drama arahan Azman Hj Yahya @ Jinggo ini menjadi buah mulut ramai di facebook, instagram dan Twitter, menyebabkan #kauakukita menjadi topik trending dilaman sosial.
Hendak dijadikan cerita, sedikit masa lalu ketika di awal penggambaran drama 13-episod tersebut, penerbit Sheila Rusly terpaksa berdepan kritikan yang sangat hebat daripada segelintir peminat Mia Ahmad yang mempersoalkan keputusannya memilih Janna sebagai pasangan Syarul dalam drama siaran slot Lestary TV3 itu. Berkesempatan bertemu Jinggo baru-baru ini, Tonton Extra telah mendapatkan pandangannya tentang isu tersebut. Jelas Jinggo, sudah menjadi kebiasaan bagi produksinya mencadangkan tiga nama kepada pihak stesen TV untuk pertimbangan. Ini diikuti sesi perbincangan bagi memastikan pemilihan yang terbaik. Namun keputusan terakhir tetap di tangan stesen penyiaran.
Gandingan yang mendapat tentangan hebat segelintir pihak
"Itulah cabarannya sebagai pengarah. Adakalanya pelakon yang dipilih tidak boleh 'pergi' tetapi menjadi tugas anda untuk membentuk dan mengasahnya sehingga dia berjaya menyampaikan wataknya. Sebagai pengarah, kualiti sesebuah karya itu mesti dijaga bila sudah bersetuju untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Pemilihan mereka bukan ditentukan pihak produksi
"Drama lakonan pertama Syarul adalah di bawah arahan saya untuk 'Hujan'. Dia sudah berubah dan menampakkan banyak peningkatan dari segi lakonan, sikapnya... I'm proud of him. Saya suka dengan komitmennya. Tahap komitmennya sama seperti bila saya mula-mula mengambilnya berlakon. Komitmen itu amat penting bagi saya. Seseorang pelakon itu walaupun skill lakonannya kurang tetapi jika dia komited, dia seorang pelakon yang bagus.
"Begitu juga dengan Janna. Saya dan Sheila yang mengasah bakatnya dalam 'Syurga Nur'. Namanya naik semasa siaran drama itu dan di dalam 'Kau, Aku, Kita', kami ubah wataknya 360 darjah supaya karektor yang dibawa berbeza. Mereka berdua kenal saya, Sheila dan JS Pictures. Jadi, mereka tahu keperluan kami dan apa yang kami perlukan daripada mereka. Saya tiada masalah bekerjasama dengan mereka. Kedua-duanya very committed," katanya panjang lebar.
Jinggo memuji komitmen yang ditunjukkan Syarul Ridzwan & Janna Nick
Sumber gambar: Resepi Sheila Rusly / facebook
Ujarnya lagi, apa yang berlaku itu adalah realiti di zaman media sosial dan Internet. "Sukar untuk kita kenakan sekatan. Nasihat saya kepada para pelakon adalah untuk mentadbir dan mengawal peminat. Mereka (peminat) boleh membangun atau menjatuhkan kerjaya anda. Pelakon perlu mengingatkan peminat supaya menyokong mereka walau sesiapapun gandingan kerana setiap kerjasama itu boleh mempelbagaikan lagi sisi lakonannya, menjadikannya seorang pelakon yang lebih baik dan versatil.
Kedua-duanya pernah bekerja di bawah arahan Jinggo
"Pada masa yang sama, peminat harus faham, kerja kita bukan hanya untuk menghasilkan karya yang ditujukan khas kepada satu kumpulan sebaliknya kami cater to the majority. Sebagai pengarah, saya pun tidak mahu selalu memanggil pelakon yang sama kerana dia akan memberikan persembahan yang serupa bila tempoh antara projek terlalu dekat." 'Kau, Aku, Kita' mengisahkan tentang dua karakter yang kebetulannya berkongsi nama yang sama, Iman Firdaus. Si gadis lebih senang disapa dengan nama Iman (Janna) manakala si jejaka dipanggil ringkas dengan nama Aus (Syarul).
Disebabkan persamaan nama mereka, Iman dan Aus bertemu, dan perkenalan itu akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Namun mampukah mereka mempertahankan rumah tangga yang dibina atas kepentingan sendiri itu?
Syarul Ridzwan & Janna Nick membawa dua karektor yang berkongsi nama yang sama
Kongsi Jinggo, tidak banyak yang diubah dari segi jalan cerita. "Lari sikit sahaja. Apa yang menarik tentang drama ini adalah visual-nya, membawa apa yang digambarkan oleh penulis dalam novel ke layar TV. Dari segi cabaran, mengarah hero dan heroin yang tengah 'in' sekarang ini. Saya cuba buat yang terbaik."
Kata Jinggo, jalan cerita drama 'Kau, Aku, Kita' tak lari jauh dari novel
Dalam perkembangan lain, drama rantaian 'Cinta Ilahi' dan telefilem 'Jalan Taubat' serta 'Dari Pintu Neraka', arahan Jinggo, telah disenaraikan dalam pencalonan awal Anugerah Skrin (ASK) 2015 yang bakal berlangsung pada 8 November. Kali terakhir menjulang trofi ASK pada tahun 2007 melalui karya 'Sebuah Ijtihad' yang dianugerahkan Drama Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik untuk Datin Sofia Jane, Jinggo bagaimanapun tidak menyasarkan kemenangan.
"Saya tidak mengarah dan menerbitkan drama untuk ASK. Terpulang pada juri untuk mengadili setiap karya itu. Setiap kerja saya dihasilkan dengan ikhlas apatah lagi bila diberi kepercayaan oleh pihak stesen TV. Kalah atau menang, saya tak kisah. Saya bermula pun dengan kekalahan. Banyak kekalahan yang dilalui sebelum saya mendapat kemenangan. Dan saya juga tidak pernah mempertikaikan keputusan juri kerana apa perasaan anda bila ada yang pertikaikan keputusan anda. Jadi, accept it as it is."
Jangan lupa saksikan 'Kau, Aku, Kita', setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di TV3. Anda juga boleh catch up episod lalu di www.tonton.com.my.
Berapa ramai yang tengok drama Kau Aku Kita ? Like sikit nak tengok dan beri komen Uollss untuk episode ke 2 ini
Posted by Resepi Sheila Rusly on Thursday, October 29, 2015
0 comments:
Post a Comment